Dhia Qaseh Afia Mohd Fadzil berkongsi kegembiraan dengan ibunya Noraida Hassan selepas memperolehi keputusan cemerlang Pencapaian Calon Istimewa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 pada 16 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penghidap Cerebral Palsy dapat keputusan cemerlang dalam SPM

ALOR SETAR, 16 JUN: Menghidap penyakit Cerebral Palsy tidak menjadi penghalang kepada Dhia Qaseh Afia Mohd Fadzil untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Lela Pahlawan, Padang Serai dekat Kulim itu antara dua calon istimewa di Kedah yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 3A, 2A-, 1B+, 1C+ dan 2D.

“Biasanya, saya akan mengulang kaji pelajaran pukul 3 hingga 4 petang dan 9 hingga 11.30 malam. Saya juga akan bahagikan masa dengan baik untuk belajar dan bermain.

“Mata pelajaran yang paling saya suka ialah Bahasa Inggeris dan cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang guru,” katanya ketika ditemui pada majlis Pengumuman Keputusan SPM 2021 di SMK Agama (SMKA) Kedah di sini hari ini.

Sementara itu, ibunya Noraida Hassan, 44, berkata anak sulung daripada dua beradik itu sememangnya menunjukkan minat yang tinggi dalam pelajaran dan sebagai ibu, beliau memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada anaknya itu.

Beliau berkata dari segi fizikal iaitu kemampuan berjalan dan menulis Dhia Qaseh Afia adalah perlahan dan mengalami sedikit kesukaran untuk bercakap, namun otaknya tiada masalah dan sesiapa sahaja yang sudah lama berada di sekelilingnya seperti rakan dan guru boleh memahami percakapannya.

“Dia seorang yang berdikari, semua jadual ulang kaji pelajaran dia yang susun sendiri. Saya dan ayahnya, (Mohd Fadzil Baharom Shah, 46,) hanya akan bantu seperti menghantar dia untuk pergi belajar dan memberi wang untuk membeli data Internet bagi membolehkan dia belajar.

“Dia juga jenis yang tidak suka keluar berjalan kerana masanya banyak habis ke sekolah dah belajar di rumah. Dia suka mencari bahan ilmu di Internet dan sekiranya ada mata pelajaran yang tidak faham, dia akan rujuk dan bertanya kepada guru-gurunya,” katanya.

Noraida yang merupakan suri rumah berkata beliau sangat terkejut apabila dimaklumkan oleh guru sekolah anaknya bahawa Dhia Qaseh Afia mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

“Jujurnya, saya tidak jangka dia akan dapat keputusan cemerlang dan selalu cakap bagi lulus peperiksaan sahaja pun sudah bersyukur kerana tahu tahap kemampuannya. Dia menghidap penyakit ini sejak lahir lagi, jadi dia tidak macam pelajar normal yang lain,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :