Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai pameran di program Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pengunjung puji jelajah bantuan rakyat penuh maklumat, sarat aktiviti

HULU LANGAT, 20 JUN: Rata-rata pengunjung memuji penganjuran program Jelajah Selangor Penyayang yang disifatkan bermaklumat dan sarat dengan pelbagai aktiviti menarik.

Kakitangan swasta, Siti Nurhidayati Sulaiman, 37, berkata program itu amat bagus dan membantu pengunjung yang tidak berkesempatan ke agensi kerajaan untuk menyelesaikan urusan pada hari bekerja.

Siti Nurhidayati Sulaiman

“Apabila adanya jelajah ini kita boleh selesaikan pelbagai urusan, tadi saya sempat ke ‘booth’ (reruai) Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar alamat kad pengenalan, hari bekerja tidak sempat dan proses di sini pun cepat.

“Saya juga tidak melepaskan peluang melakukan pemeriksaan kesihatan di reruai Selangor Saring. Saya amat memuji program ini kerana segalanya berada di satu lokasi,” katanya pada program Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang semalam.

Muhammad Naim Ab Llah Nawawi

Manakala penjawat awam, Muhammad Naim Ab Llah Nawawi, 36, berkata jelajah itu dapat menjawab kekeliruan rakyat sekiranya ada masalah yang ingin ditanya.

“Saya sempat pergi ke reruai LPHS (Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor), sebelum ini saya pernah menerima tawaran Rumah Selangorku tetapi terpaksa menolak kerana jarak yang jauh.

“Hari ini, kakitangan LPHS membantu menyelesaikan perkara itu dan Alhamdulillah saya masih boleh memohon rumah tersebut. Program ini patut diteruskan atau dilaksana secara kerap kerana ia memudahkan rakyat untuk berurusan pada hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, surirumah M Kalaivani, 41, berkata beliau hadir ke program itu untuk memberi sokongan kepada anaknya yang terlibat dalam pertandingan bola sepak kanak-kanak bawah 10 tahun.

M Kalaivani

“Pada mulanya tidak sangka juga ada aktiviti lain selain bola sepak, jadi saya turut mengambil kesempatan menyertai senamrobik selain berjalan ke beberapa reruai untuk melihat pelbagai inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Jelajah yang membuka tirai di daerah Hulu Langat bagi mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat turut melibatkan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Jelajah itu turut dijadual diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.


Pengarang :