Orang ramai yang menghadiri Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDASELANGOR

Peniaga gembira raih pendapatan lebih, mahu sertai lagi jelajah bantuan rakyat

KUALA LANGAT, 26 JUN: Jelajah Selangor Penyayang menjadi lubuk rezeki kepada peniaga ayam gunting dan air balang di sini apabila meraih pendapatan lebih RM2,000 dalam tempoh sehari.

Muhammad Asyraf Maaruf, 31, berkata pendapatannya meningkat sekali ganda berbanding ketika membuka gerai jualan di tepi jalan di Sepang kerana jumlah pengunjung yang ramai di lokasi jelajah di Dataran Pantai Morib, semalam.

Muhammad Asyraf Maaruf

“Saya dimaklumkan oleh wakil Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) mengenai program ini yang membuka peluang kepada peniaga terutama peserta Hijrah untuk menjalankan perniagaan, jadi saya tidak mensia-siakan peluang ditawarkan.

“Tidak sangka ia membantu saya untuk cari duit tambahan. Alhamdulillah, jika hari biasa keuntungan sekitar RM1,000 tetapi hari ini (semalam) naik sekali ganda dan rasa seronok berniaga walaupun hari minggu sepatutnya saya cuti,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau yang mengusahakan perniagaan itu sejak lima tahun lalu turut berharap lebih banyak peluang sedemikian diberi kepada peniaga khususnya penjaja jalanan pada program akan datang.

“Difahamkan jelajah berikutnya berlangsung di Kuala Selangor. Sekiranya ada peluang saya mahu sertai sekali lagi, namun pihak terbabit (Hijrah) maklumkan slot sudah penuh kecuali di Gombak selepas Aidiladha.

“Insya-Allah, saya akan guna kesempatan itu tetapi bergantung juga kepada keadaan,” katanya yang sudah dua kali menerima pembiayaan Hijrah dengan jumlah keseluruhan RM50,000 sejak dua tahun lalu.

Bagi peniaga aiskrim kon, Mohammad Izni Nasarudin, 39, program itu membantunya menjana pendapatan sampingan selepas dua tahun tidak berpeluang menyertai sebarang program untuk memasarkan produk buatan sendiri.

Mohammad Izni Nasarudin

Katanya, jualan aiskrim perisa strawberi, vanila dan coklat mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengunjung sekali gus memperoleh keuntungan RM300 dalam jelajah anjuran Kerajaan Selangor itu.

“Memang saya sering sertai mana-mana acara atau program yang diadakan pada hujung minggu melainkan hari biasa sibuk dengan tugas di pejabat.

“Saya bersyukur diberi peluang terlibat dalam jelajah kali ini selepas dimaklumkan oleh kakak. Aiskrim yang dijual pada harga RM2 hingga RM4 sebatang ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan pendapatan saya,” katanya.


Pengarang :