Peserta mendengar penerangan oleh petugas kesihatan pada program Selangor Saring di Dewan MPAJ Lembah Jaya, Ampang pada 11 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASELANGOR

Penyakit tidak kira usia, dorong golongan muda sertai Selangor Saring

AMPANG, 12 JUN : Meskipun tidak pernah didiagnos sebarang jenis penyakit, Fatin Nazihah Muhammad Nazri tetap menyertai Selangor Saring kerana ingin mengetahui tahap kesihatannya.

Wanita berusia 27 tahun itu berkata penyakit tidak mengenal usia dan beliau memang merancang hadir ke program itu selepas melihat iklan menerusi Twitter sebulan yang lalu.

“Selepas tahu ada program ini dan berhampiran pula dengan rumah, saya terus mengajak ibu dan seorang rakan untuk menyertainya.

Fatin Nazihah Muhammad Nazri

“Program ini sangat bagus kerana banyak saringan dilakukan dan menariknya ia percuma sahaja,” katanya ketika ditemui di program Selangor Saring di Dewan Lembah Jaya dekat sini semalam.

Selain itu, seorang warga emas Foo Kuan Toong, 68, berkata hampir lima tahun beliau tidak menjalani rawatan kesihatan lengkap meskipun sudah 25 tahun dikesan sebagai penghidap kencing manis.

“Kencing manis saya masih boleh kawal tetapi hari ini memandangkan ada program Selangor Saring saya dan isteri tidak mahu melepaskan peluang untuk periksa keadaan kesihatan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana menganjurkan program ini yang amat bagus untuk rakyat,” katanya.

Manakala, Thanabalam Nt Thangih, 41, turut mencadangkan program itu dianjurkan secara kerap sekurang-kurangnya tiga kali setahun kerana ia amat membantu golongan B40.

Thanabalam Nt Thangih

“Tambahan pula dalam keadaan selepas pandemik ini masih ramai rakyat yang kurang mampu dan hilang pekerjaan, apabila ada rawatan kesihatan percuma ia amat membantu,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan penduduk terutama yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :