Peserta menghadiri temu duga Program Penempatan Pekerjaan 2022 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Kuala Lumpur pada 23 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perangkaan: Kadar pengangguran turun kepada 3.9 peratus pada April

PUTRAJAYA, 9 JUN: Kadar pengangguran negara menurun pada April tahun ini iaitu 3.9 peratus, berbanding 4.1 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, April 2022 dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan tenaga buruh pada bulan tersebut terus mengukuh dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 16.50 juta orang, berbanding 16.44 juta orang pada Mac.

“Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 69.4 peratus daripada 69.2 peratus pada Mac 2022, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penduduk bekerja menunjukkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.5 peratus dan merekodkan 15.85 juta orang pada April berbanding 15.77 juta orang pada Mac.

Mengenai situasi guna tenaga, Mohd Uzir berkata kategori pekerja yang merangkumi komposisi terbesar jumlah penduduk bekerja, iaitu sebanyak 76.3 peratus, meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 12.09 juta orang, berbanding 12.06 juta orang yang direkodkan pada Mac.

Katanya, penduduk bekerja sendiri terus bertambah sebanyak 1.2 peratus kepada 2.72 juta orang pada April (Mac: 2.69 juta).

“Peningkatan ini sebahagiannya adalah disebabkan oleh lebih banyak aktiviti perniagaan sempena sambutan Ramadan dan persiapan menjelang Aidilfitri pada bulan tersebut, selari dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa yang menggalakkan sektor pelancongan dan industri berkaitan pelancongan untuk meneruskan aktiviti mereka,” katanya.

Dalam sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mengekalkan trend positif terutama dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman serta bidang kesihatan dan kerja sosial.

-BERNAMA


Pengarang :