PETALING JAYA, 18 JUN: Sambutan ulang tahun Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ke-16 tahun ini bakal dimeriahkan dengan persembahan perarakan melibatkan 40 pasukan pada Sabtu depan.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata perarakan itu membabitkan pelbagai jabatan, agensi kerajaan dan kumpulan komuniti yang selama ini membantu MBPJ membangunkan Petaling Jaya.
“Perarakan akan diadakan di laman MBPJ. Mereka akan berarak kira-kira 500 meter mengikut kreativiti masing-masing.
“Kita juga akan mengadakan 33 lagi acara lain antaranya pameran, jualan, pertandingan serta kejohanan yang kesemuanya melibatkan pelbagai pihak,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan bakul makanan kepada 22 penerima di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang di sini hari ini.
Azhan berkata sempena ulang tahun yang disambut Isnin ini pihaknya akan mengagihkan cenderahati kepada bayi yang lahir pada hari berkenaan.
“Bayi ini akan dikenali sebagai Anak Bandar Raya PJ dan sumbangan akan diberikan di beberapa hospital,” katanya.