Pereka fesyen Hatta Dolmat (tiga, kanan) bergambar bersama Miss Universe Malaysia 2022 selepas melakukan kutipan sisa sampah yang boleh dikitar semula di sekitar persisiran pantai sempena program ‘Beach Clean-Up, Road To KL Fashion Week 2022 pada 15 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pereka fesyen Hatta Dolmat tonjol kreativiti, guna sisa plastik hasilkan pakaian

PORT DICKSON, 16 JUN: Pereka fesyen Hatta Dolmat sekali lagi akan tampil dengan kelainan tersendiri menggayakan koleksi fabrik yang dihasilkan daripada sisa plastik bersempena KL Fashion Week 2022 Ogos ini.

Hatta berkata sebagai persiapan bagi pementasan pertunjukan fesyen itu nanti, seramai tujuh finalis Miss Universe Malaysia 2022 turut bersama-sama menjayakan kempen melestarikan alam sekitar membersihkan pantai dengan mengutip sisa plastik di sekitar pantai Port Dickson menerusi program Ocean’Us Sustainable Ecotourism Beach Clean Up 2022.

Beliau berkata program anjuran kali kedua bersama Ocean Hero Conservation itu bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan fesyen dalam melestarikan alam sekitar bagi mengurangkan pembuangan sisa plastik di kawasan pantai.

“Sebelum ini koleksi yang saya cipta lebih menyasarkan golongan muda, tapi kali ini kita akan bawakan pembaharuan yang lebih segar dan mesra semua peringkat umur terutamanya golongan dewasa dan korporat.

“Hasil kutipan semalam kami dapat mengumpul dan mengasingkan sembilan guni bersaiz besar berisi 96 sisa botol plastik dan terdapat juga sisa lain seperti styrofoam, pelitup muka dan lain-lain. Anggaran 14 meter kain dapat dihasilkan daripada 96 botol plastik yang diperoleh,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata sisa botol plastik yang dikumpulkan pada program tersebut akan disusun, kemudian dipilih sebelum dihantar kepada KLOTH Cares untuk diproses menjadi fabrik.

Katanya, antara produk yang dapat dihasilkan adalah pakaian lengkap, beg, kasut, topi dan sebagainya.

“Bagi golongan korporat, saya akan menghasilkan pakaian yang bersesuaian untuk mereka seperti blazer, kasut dan pelbagai lagi yang lebih ‘high fashion’ menggunakan fabrik kitar semula ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata inisiatif program seperti ini dapat merancakkan ekonomi pelancongan negara kerana trend masyarakat kini yang lebih mementingkan kebersihan alam sekitar.

“Malaysia terkenal dengan ekopelancongan. Program kesedaran seperti ini penting kepada masyarakat agar sektor pelancongan negara dapat dipertingkatkan,” katanya.

Iskandar Mirza berkata Tourism Malaysia sedang giat mempromosikan pakej pelancongan negara ini ke India dan negara-negara Asia Barat sebagai usaha meningkatkan semula sektor itu.

“Ia selaras dengan sasaran dua juta pelancong asing yang dijangka melawat negara pada tahun ini. Kedatangan pelancong luar untuk bercuti ke negara ini juga semakin bertambah,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :