Petugas ibadah korban memotong daging lembu untuk diagihkan kepada penduduk sekitar Bukit Antarabangsa pada 20 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Permintaan lembu korban di Selangor dijangka naik sehingga 6,000 ekor

SHAH ALAM, 14 JUN: Permintaan lembu bagi ibadah korban di Selangor sempena Aidiladha tahun ini dijangka meningkat antara 5,000 hingga 6,000 ekor, kata EXCO pemodenan pertanian.

Menurut Ir Izham Hashim, ramalan itu susulan langkah Majlis Keselamatan Negara melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) selepas negara beralih ke fasa endemik, lapor Sinar Harian.

Beliau menjelaskan penambahan itu turut didorong ramai umat Islam yang menangguhkan ibadah tersebut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

“Kerajaan Negeri akan memastikan bekalan lembu mencukupi bagi menampung permintaan tinggi menjelang musim perayaan Aidiladha.

“Selangor tidak akan menghadapi masalah bekalan sama ada bagi kegunaan harian mahupun untuk kegunaan ibadah korban kerana mempunyai kuasa beli tinggi berbanding negeri lain,” katanya.

Sebelum ini, Ir Izham yang juga wakil rakyat Pandan Indah memaklumkan lebih RM5 juta bakal dibelanjakan bagi menjayakan korban di Selangor bulan depan.

Agihan melibatkan 1,000 ekor kambing dan 660 ekor lembu akan diserahkan kepada wakil rakyat, masjid, surau terpilih dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Pengarang :