Dato’ Menteri Besar, Dato Amirudin Shari, membuat lawatan ke gerai peniaga bazar ramadan selepas merasmikan Pelancaran Program Pemerkasaan Penjaja Melalui Inisiatif Platform Selangor (PLATS) di Bazar Ramadan BK5, Subang Jaya pada 8 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peserta PLATS meningkat, berkesan bantu peniaga gandakan jualan

SHAH ALAM, 22 JUN: Platform Selangor (PLATS) yang dilancarkan April dua tahun lalu berupaya menggerakkan ekonomi pengusaha kecil sederhana mikro terutamanya penjaja dan peruncit di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi platform promosi dan direktori digital itu, peniaga mendapat lebih ramai pelanggan sekali gus menggandakan jualan.

“Sejak dilancarkan, seramai 10,045 peniaga telah memanfaatkan peluang. Ini terbukti berkesan menerusi peningkatan penyertaan.

“Daripada 2,868 peniaga menyertai pada 2020 diikuti seramai 7,177 peniaga menyertainya tahun lepas. Inisiatif ini antara agenda digitalisasi Selangor yang sentiasa berkembang,” katanya di Facebook hari ini.

PLATS diperkenalkan bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform dalam talian susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 diteruskan bertujuan membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Untuk tahun ini, platform maya itu diteruskan lagi pada April melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Rakan Digital Selangor.


Pengarang :