Dr Maszlee Malik menunjukkan antara koleksi bukunya ketika program bersama YB di Pavilion Selangor PBAKL, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 10 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesta buku KL: Lebih 20 karya Dr Maszlee untuk pencinta buku  

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Bekas menteri pendidikan membawa lebih 20 buku tulisannya sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Dr Maszlee Malik berkata pengunjung boleh mendapatkan pelbagai genre buku hasil karyanya seperti novel, karya kreatif, ilmiah dan komik.

“Buku komik bukan sekadar komik. Contohnya komik bertajuk Kerjaya yang membimbing kerjaya guru, ibu bapa dan anak-anak dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Manakala Empati pula tentang kesihatan mental dan Undi18 pula mendidik anak-anak sistem negara serta kepentingan mengundi dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau ditemui dalam Program bersama YB di Pavilion Selangor menerusi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini semalam.

Selain komik, antara buku tulisan ahli parlimen Simpang Renggam ialah Memori Bukan Memoir, Be Eshme Elohim dan Generasi Yang Hilang yang dilancar di Pesta Buku Selangor 2021.

Pavilion Selangor di PBAKL 2022 merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Sebanyak 19 agensi terlibat seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Invest Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Tourism Selangor.

Turut dianjurkan Program Hati dan Minda Sasterawan menampilkan beberapa sasterawan antaranya Prof Emeritus Dr Muhamad Haji Saleh, Fadli Al-Akiti serta Helmy Samad yang merupakan anak Datuk Seri A Samad Said.


Pengarang :