Pengunjung memilih buku ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 3 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Pesta buku KL: Pavilion Selangor jadi tumpuan, kongsi maklumat inisiatif negeri

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Penganjuran Pavilion Selangor menerusi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 menjadi wadah perkongsian maklumat inisiatif Kerajaan Negeri dalam pelbagai perkara.

Pekerja swasta Qurratu Ainin Zam Zam, 33, berkata ruangan yang disediakan untuk Selangor sebagai negeri tamu PBAKL antara tempat yang perlu dikunjungi orang ramai yang datang ke PBAKL.

Qurratu Ainin Zam Zam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pavilion Selangor membuka mata saya mengenai pelbagai inisiatif disediakan Selangor untuk membantu masyarakat dalam banyak perkara antaranya pendidikan dan peniagaan,

“Saya  mendapati ada beberapa insentif disediakan khusus untuk pendidikan kanak-kanak tetapi tidak mengetahuinya.

“Menerusi Pavilion Selangor, maklumat mengenai sesuatu perkara dapat diketahui dengan lebih lanjut kerana agensi terlibat turut serta dalam acara ini,” katanya kepada SelangorKini.

Penjawat awam, Donna Abdullah, 32, berkata beliau dan suami sanggup mengambil cuti membawa anak datang ke pesta buku selepas hampir dua tahun program sedemikian tidak dianjurkan.

Donna Abdullah. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Suami memang minat membaca dan mempunyai perpustakaan sendiri di rumah. Malah, setiap penganjuran pesta buku kami pasti datang kerana anak sulung juga minat membaca.

“Kelainan di Pavilion Selangor, selain memaparkan pelbagai program di bawah Kerajaan Negeri, mereka juga menyediakan ruangan khas untuk anak-anak bermain lego sekali gus dapat meningkatkan kreativiti,” katanya.

Pavilion Selangor di PBAKL 2022 merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sebanyak 19 agensi terlibat seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Invest Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Tourism Selangor.

PBAKL 2022 kembali dianjurkan selepas dua tahun tertangguh akibat Covid-19 dan menyasar kehadiran sehingga sejuta pengunjung selama 10 hari berlangsung.


Pengarang :