Wafa Aqilah Zaman, 6, ditemani maskot beruang ketika menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) di Tabika Kemas Parlimen Parit, Parit, Perak pada 28 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PICKids akan dibuka semula jika ada permintaan khas

BAGAN SERAI, 18 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyambung semula Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bergantung kepada permintaan khas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata langkah itu bagi memberi peluang kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman untuk mendapatkan suntikan vaksin percuma selepas program itu berakhir 31 Mei lepas.

“Kita tidak akan buka dan sekiranya ada permintaan khas, ia (PICKids) dibuat sempena pengiktirafan Minggu Imunisasi Kebangsaan yang diadakan di Sabah untuk diberikan kepada mereka yang belum mencapai umur lima tahun sehingga hujung tahun ini serta mereka yang tidak mendapat suntikan vaksin kerana dijangkiti Covid-19,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Memanah anjuran Abu Talhah Traditional Archey Club (ATTAC) di sini hari ini.

PICKids telah dimulakan pada Februari tahun ini bagi kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dan dihentikan pada 31 Mei lepas.

Dr Noor Azmi berkata mereka yang berkenaan boleh mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk membuat janji temu bagi tujuan vaksinasi.

“Kita memberi peluang ini kepada mereka yang tinggal di pedalaman yang menghadapi masalah internet seperti di Sabah… apabila mereka keluar (untuk menyertai PICKids), didapati imunisasi sudah tidak ada (tamat),” katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Kampung boleh membantu mengumpulkan penduduk dan berbincang bersama pengarah kesihatan negeri yang akan membuat keputusan berkaitan pemberian vaksin.

Menurutnya orang ramai juga boleh mendapatkan vaksinasi sempena Minggu Imunisasi Kebangsaan bermula 20 hingga 24 Jun ini di semua klinik kesihatan seluruh negara secara jumpa terus.

“Saya berdoa dan berharap ibu bapa tampil membawa anak-anak bagi mendapatkan vaksinasi kerana bimbang anak-anak terdedah dengan virus Covid-19,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :