Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abas ketika sidang media pra pelancaran Selbiz Expo 2022 di Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14, Shah Alam pada 27 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGOKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS anjur ekspo usahawan September ini, jangka transaksi hingga RM5 juta

SHAH ALAM, 27 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menganjurkan Ekspo Usahawan Selangor 2020 (SELBIZ2022) pada 3 dan 4 September ini bagi membantu peniaga kecil mengembangkan produk jualan.

Ketua Pengarah Eksekutif Dato’ Mahmud Abbas berkata program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) menyasarkan transaksi urus niaga antara RM2 juta hingga RM5 juta.

“Program julung kali ini dijangka menjadi penggerak prestasi negeri sekali gus menggiatkan lagi pertumbuhan ekonomi selepas pasca pandemik Covid-19.

“SELBIZ2022 turut menawarkan tempat kepada peniaga yang beroperasi dari rumah. Kita jangkakan pendaftaran tinggi dari peniaga industri makanan serta peruncitan dan perkhidmatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mahmud berkata program mendapat kerjasama beberapa agensi terkenal antaranya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), SME Corp, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Ekspo yang bermula dari 10 pagi hingga 10 malam itu turut menampilkan beberapa pakar serta profesional yang akan berkongsi ilmu berkenaan pemasaran, akaun serta aliran wang tunai.

“Program ini menyediakan 160 reruai dan setakat ini 70 darinya sudah ditempah. Beberapa selebriti juga akan mengambil bahagian antaranya Liza Hanim.

“Kita jangkakan inisiatif tambahan bagi membantu usahawan ini bakal menjadi acara dwi tahunan. PKNS percaya usahawan tempatan berpotensi dalam memperkasakan taraf sosioekonomi negeri,” katanya.


Pengarang :