Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abbas (belakang, empat dari kiri) bersama pemilik kediaman pada majlis serah kunci 864 unit Residensi Idaman Selangorku di Selangor Cyber Valley pada 7 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

PKNS cadang wujud yayasan bantu tampung dana perumahan

CYBERJAYA, 7 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bercadang mewujudkan sebuah yayasan perumahan bagi membantu rakyat kurang berkemampuan memiliki rumah, kata ketua pegawai eksekutifnya Datuk Mahmud Abas.

Beliau berkata konsep yayasan tersebut adalah menampung sebahagian daripada harga sesebuah rumah dan yayasan akan mempunyai hak milik sebanyak 50 peratus terhadap rumah itu.

“Contohnya, harga rumah adalah RM300,000 tapi dapat pinjaman bank sebanyak RM150,000 sahaja, jadi yayasan akan bantu untuk tampung RM150,000 dan (PKNS) akan ada 50 peratus pegangan hak milik dalam rumah itu,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan kunci kepada pemilik unit Residensi Idaman Selangorku PKNS di Selangor Cyber Valley di sini hari ini.

Beliau berkata konsep yayasan tersebut dipraktikkan di England dan PKNS akan menghantar kakitangannya ke negara tersebut bagi membolehkan mereka mengetahui selok-belok perundangan berkaitan yayasan perumahan.

“Formulasi dan cadangan berkaitan kini masih di peringkat PKNS sebelum dibentang kepada lembaga pengarahnya dan setelah dimuktamadkan, ia akan dimajukan kepada kerajaan Selangor bagi proses seterusnya,” katanya.

Beliau berkata usaha untuk mewujudkan yayasan sedemikian bukan perkara mudah memandangkan ia perlu melalui banyak proses termasuk perihal undang-undang selain memastikan dananya tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Katakan pemilik rumah itu nanti buat pengubahsuaian rumah, nanti harga rumah naik… ataupun pemilik berhasrat untuk menjual rumah itu, bagaimana dengan yayasan nanti. Kita perlu ada modal bagi kitaran dana bagi membolehkan lebih ramai dapat memiliki rumah impian,” katanya.

Mengenai Residensi Idaman Selangorku, beliau berkata ia merupakan projek PKNS untuk menyokong Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) bagi menyelesaikan isu kemampuan rakyat membeli rumah.

Dengan keluasan 1,000 kaki persegi, setiap unit rumah pangsapuri itu dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua tempat letak kereta serta ditawarkan pada harga RM232,000.

Mahmud berkata Residensi Idaman Selangorku yang dibangunkan dengan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) itu mempunyai 864 unit rumah dengan empat unit khas bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kesemua unit tersebut habis dijual.

Seorang pemilik rumah, Rozieyati Azizahtul Asyikin Rozaini, 29, ketika ditemui melahirkan kesyukuran dapat menerima kunci rumahnya daripada PKNS hari ini.

“Saya tidak sabar untuk pindah ke Cyberjaya, akhirnya dapat memiliki rumah sendiri. Buat masa ini saya tinggal di rumah flat di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan perlu bayar kos sewa rumah yang tinggi.

“Dalam beberapa tahun lagi, Cyberjaya akan berkembang pesat dengan semua fasiliti lengkap. Ia merupakan lokasi strategik untuk kami sekeluarga membina kehidupan di sini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :