Sebahagian pekerja warga asing yang bekerja secara sah menghuni di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi, Kajang. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKNS sasar bina 10,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 15 tahun

KAJANG, 29 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan 10,000 unit rumah mampu milik dibina dalam tempoh 15 tahun sekitar pusat pertumbuhan baharu (township) di seluruh negeri ini.

Pengurus besar kanan pentadbirannya berkata pembangunan 10 projek membabitkan empat jenis kediaman dengan tawaran harga bermula RM42,000 hingga RM220,000 seperti dasar Rumah Selangorku.

Saharom Mohni memaklumkan sebanyak 864 unit kediaman siap dibina di Selangor Cyber Valley, Cyberjaya dan serahan kunci sudah dibuat kepada pembeli.

“Selebihnya dalam proses KM (kebenaran merancang) antaranya di Tasik Puteri, Bernam Jaya, Antara Gapi dan Shah Alam,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan 20 delegasi pengamal media Indonesia di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan pembinaan rumah mampu milik mampu disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Kita memang terikat dengan Kerajaan Negeri. Apabila perkara ini masuk ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), mahu tidak mahu kita kena akur dengan jadual itu,” katanya.

Dasar Rumah Selangorku 2.0 diperkenal pada April 2018 bagi menambah baik dasar perumahan mampu milik yang menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan supaya memberi manfaat kepada pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Kerajaan Negeri menetapkan syarat dan kawalan pembangunan rumah bagi memastikan penyediaan jenis rumah kos bebas serta terkawal di Selangor ditawarkan kepada rakyat.


Pengarang :