Pekerja warga asing yang menghuni di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi, Kajang. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKNS sedia bina lebih banyak asrama warga asing bekerja secara sah

KAJANG, 29 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sedia membina lebih banyak asrama warga asing yang bekerja di negeri ini secara sah.

Pengurus Besar Kanan Pentadbiran Saharom Mohni berkata usaha itu bagi menampung peningkatan pola penghijrahan bukan warganegara itu susulan pembukaan semula sempadan negara pasca Covid-19.

Pengurus Besar Kanan Pentadbiran Saharom Mohni

“Semestinya kita harap lebih banyak ruang dibuka kepada mereka (warga asing) bekerja di sini mengikut undang-undang sah terutama dalam sektor pembuatan, pembangunan dan pembantu rumah.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak kontraktor terlibat untuk menyediakan asrama yang lebih selesa. Kali ini (pembinaan) akan dapat pengawasan kerana kita mahu mereka tinggal di tempat ditetapkan.

“Adalah tidak ekonomik jika mereka tinggal di asrama yang jauh daripada tempat kerja sehingga mengambil masa 45 minit untuk sampai,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menerima kunjungan 20 delegasi pengamal media Indonesia di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Sementara itu, Saharom memaklumkan setakat ini pihaknya menyediakan dua asrama kepada tenaga kerja asing dari Indonesia, Vietnam, Myanmar, Filipinan termasuk sebilangan kecil rakyat tempatan.

Menurutnya, tujuh blok asrama Pangsapuri Sri Ayu menempatkan lebih 1,000 pekerja sejak beroperasi pada 1998 dengan kesemua mereka bekerja dengan syarikat seperti Sony, Modern Icon, Metro Excel, Amazco, Karyatama Mitra, Nidec dan Hitachi.

“Manakala satu lagi di Datum In City, Kelana Jaya yang dibangunkan dengan kos RM120 juta mampu memuatkan kira-kira 5,000 pekerja dengan 60 peratus daripadanya sudah diisi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kunjungan delegasi berkenaan bagi memberi gambaran sebenar berhubung keselesaan dinikmati tenaga kerja asing yang memasuki negara ini mengikut undang-undang.

“Kunjungan singkat ini diharap mengukuhkan hubungan bilateral antara Indonesia dan Malaysia khususnya di Selangor. Tidak hanya hubungan perdagangan, perniagaan dan diplomatik tetapi ukhuwah sebagai saudara serumpun akan lebih harmoni,” katanya.


Pengarang :