Baituljannah.com, salah satu laman sesawang mencari jodoh dalam talian yang menjadi tumpuan. Foto Baituljannah.com
AGENDANASIONAL

Platform cari jodoh dalam talian buka ruang jalin hubungan sihat

SHAH ALAM, 11 JUN: Platform mencari jodoh secara dalam talian memberi ruang kepada individu belum berkahwin menjalin hubungan sihat.

Pakar Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata pelbagai platform pencarian jodoh pada masa kini semakin popular berikutan kesukaran mencari pasangan hidup bersesuaian.

“Platform jodoh online ini bagus kerana mencipta hubungan baharu yang sihat. Mungkin ada yang tidak sihat, itu pun kira-kira 10 peratus sahaja selebihnya baik, jadi kenapa kita tidak menyokongnya.

“Namun, pengguna perlu jujur dengan diri sendiri dan menyalurkan maklumat yang benar supaya hubungan dibina berakhir dengan perkahwinan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program borak santai Jodoh Online: Mencari Bahagia atau Sengsara yang disiar secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Program bual bicara itu turut menampilkan Pengarah Urusan Baituljannah.com, Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon.

Tambah Dr Fauziah, maklum balas diterima daripada pelanggan mendapati mereka menggunakan platform jodoh dalam talian kerana mempunyai masalah melibatkan keluarga dan komuniti.

“Ada juga mereka yang suka menyendiri dan menganggapnya tidak berat. Selain itu keyakinan diri rendah dan sibuk bekerja juga antara faktor ramai memilih platform jodoh atas talian,” katanya.


Pengarang :