Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melawat ruang dalaman unit Rumah Idaman di Pangsapuri Idaman Abadi, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih, Kajang pada 24 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

PNSB bakal bina lebih 45,000 unit Rumah Idaman di lokasi strategik

KAJANG, 25 JUN: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) akan membangunkan 45,760 unit Rumah Idaman menerusi 24 projek di beberapa lokasi strategik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata antaranya Gombak, Sepang, Kuala Langat, Klang, Petaling, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Beliau berkata ia diharap mampu memenuhi hasrat golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) memiliki kediaman pertama.

“Buat masa ini sebanyak 4,631 unit sedang dalam pembinaan melibatkan tiga projek dan sambutan diterima amat menggalakkan apabila unit ditawarkan hampir habis dijual.

“Projek ini bukti komitmen kami kepada rakyat Selangor, jadi rakyat diminta mengambil peluang keemasan untuk memiliki rumah idaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kunci Rumah Idaman kepada 10 daripada 2,059 pembeli unit di Pangsapuri Idaman Abadi Kajang 2, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih dekat sini semalam.

Penyerahan kunci rumah itu dilakukan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut hadir EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Dalam pada itu, Raja Ahmad Shahrir berkata pelbagai cabaran dihadapi sejak Rumah Idaman mula dibina pada 2019 terutama ketika pandemik Covid-19.

Namun, beliau berkata ia berjaya diatasi hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan pemaju Trans Loyal Development Sdn Bhd.

“Wabak covid-19 memberi impak kepada sektor pembinaan, tetapi pihak pemaju tekad dan berjaya menyiapkan Rumah Idaman di sini dalam jangka masa ditetapkan,” katanya.

“Reka bentuk pembangunan rumah idaman praktikal menggunakan kaedah pembinaan acuan aluminium yang menjimatkan kos dan mempercepat pembinaan. Malah, kelengkapan dalaman hampir lengkap,” katanya.

Ditawarkan pada harga RM250,000, Rumah Idaman dengan keluasan 92.9 meter persegi dilengkapi kemudahan seperti dewan serbaguna, kolam renang, dan taman permainan.

Setiap unit mempunyai dua parkir, penyaman udara di tiga bilik tidur, pemanas air di dua bilik air, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian.


Pengarang :