BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Polemik tapisan babak LGBT dalam animasi Lightyear

Siri filem Toy Story memberi kesan besar terhadap perkembangan animasi dunia. Pada 1995, Toy Story menjadi filem pertama terbitan anak syarikat Disney, Studio Animasi Pixar sekali gus mencipta sejarah sebagai filem animasi janaan komputer pertama dibikin.

Penceritaannya mengungkap falsafah manusiawi yang menghiburkan telah menjadikan Toy Story jenama animasi cukup digemari. Empat siri awal Toy Story mengumpul kutipan kira-kira ASD3 bilion dan meletakkan ia sebagai antara francais filem berjaya pada sudut komersial dan pandangan pengkritik.

Pada 17 Jun 2022, filem spin-off daripada Toy Story berjudul Lightyear yang menampilkan karakter utama Buzz Lightyear mula ditayangkan di seluruh dunia. Namun, filem ini mendapat pelbagai reaksi atas beberapa sebab berbeza.

Filem ini diharamkan tayangannya di beberapa negara Islam termasuk Bahrain, Iraq, Lebanon, Mesir, Jordan, Kuwait, Qatar, Palestin, Arab Saudi, Syria, Emiriah Arab Bersatu dan tentunya Malaysia. Pengharaman ini berpaksikan kepada satu adegan dalam filem ini yang disifatkan mendukung agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Agenda LGBT

Ia memaparkan karakter perempuan bercium sesama jantina. Negara seperti China juga tidak dapat menerima adegan berkenaan dan memohon agar ia dipotong.

Adegan ini dianggap sebagai satu percubaan untuk menormalisasi budaya LGBT di seluruh dunia. Seperti yang kita ketahui komuniti LGBT masih tidak diterima secara rasmi dan sah di kebanyakan negara kerana ia terkait dengan penerimaan setempat dan budaya dominan sesebuah negara berkenaan.

Bagaimanapun agak menarik untuk diperhatikan bagaimana negara-negara jiran yang mempunyai struktur masyarakat dan demografi yang hampir sama dengan Malaysia menangani perkara ini.

Indonesia melalui Lembaga Sensor Film (LSF) dalam respons awal yang diberikan terhadap filem ini, meminta pemunya filem ini mempertimbangkan suasana audiens di Indonesia apabila terdapat adegan bersifat LGBT berkenaan. LSF beranggapan adegan seperti itu masih terlalu sensitif untuk rakyat di Indonesia.

Ini berpadanan dengan reaksi beberapa kumpulan termasuk Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Komisi Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) yang beranggapan adegan seperti itu tidak sesuai untuk dilihat golongan kanak-kanak. Malah MUI melihat filem berkenaan sebagai bertentangan dengan Pancasila yang menjunjung prinsip masyarakat bertuhan.

Sehingga minggu lalu, filem ini masih belum ditayangkan di Indonesia dan pihak LSF memaklumkan bahawa pihak Disney selaku pemunya filem masih belum menghantar salinan untuk diteliti LSF secara komprehensif.

Namun begitu, Singapura mengambil pendirian berbeza berbanding Malaysia dan Indonesia. Badan yang menjalankan tugas penapisan filem di Singapura, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengambil pendirian memberikan klasifikasi NC16 untuk filem Lighyear. Klasifikasi ini adalah terhad untuk tontonan peringkat umur 16 tahun ke atas sahaja.

Bagi memastikan filem ini dapat ditonton oleh kanak-kanak di bawah peringkat umur berkenaan, Singapura memohon supaya pihak Disney mempertimbangkan pilihan untuk mengedarkan filem berkenaan dalam dua versi di mana satu versi lagi melibatkan potongan adegan LGBT berkenaan. Namun begitu, cadangan ini tidak diterima oleh pihak Disney.

Pilihan versi

Pendekatan klasifikasi dan membuka pilihan kepada penerbit filem dilihat sebagai satu keterbukaan tetapi memiliki batas yang bersesuaian. Ia juga menjadi penanda aras penting dalam menentukan ketekalan penapisan filem. Langkah diambil oleh Singapura ini juga disifatkan telus kerana laporan IMDA berhubung perkara ini disiarkan secara terbuka dan mekanisme keputusan yang dicapai juga dapat diketahui oleh penonton.

Singapura ialah negara yang mempunyai peraturan penapisan yang ketat, namun sistematik dan terbuka. Malah Singapura menjadi negara yang paling banyak memohon penapisan kepada kandungan yang muncul di laman penstriman seperti Netflix.

Walau begitu, disebabkan sistem penapisan yang teratur dan segala macam dokumen dan laporan penapisan boleh diakses secara terbuka, maka Singapura berkeupayaan membuat keputusan penapisan yang berlainan dalam isu Lightyear.

Polemik penapisan filem khususnya berkaitan justifikasi moral dan pertimbangan budaya seperti LGBT akan terus berlaku pada masa hadapan. Kebijaksanaan sesebuah negara mengendalikan urusan penapisan filem secara demokratik dan telus wajar diperhatikan dengan lebih baik.

Langkah Singapura memberi kefahaman berkaitan keputusan diambil termasuk menyediakan pilihan-pilihan wajar untuk dipertimbangkan pembikin filem dan dalam masa sama masih melindungi kelompok masyarakat seperti kanak-kanak menjadi contoh bagaimana penapisan filem boleh dilaksanakan dan diterima jika ia bersifat telus.


Pengarang :