Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam laman sosial. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis buru dalang utama bekal data peribadi kepada sindiket penipuan

PADANG BESAR, 29 JUN: Polis Perlis sedang giat mengesan dalang utama yang dipercayai membekalkan ribuan data peribadi kepada sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata pihaknya telah mengenal pasti identiti suspek yang kini berada di utara negara.

“Kita bersama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat melengkapkan siasatan bagi membawa suspek ke muka pengadilan.

“Kes yang berkaitan dengan teknikal seperti peralatan telekomunikasi diserahkan kepada MCMC, manakala kes berkaitan dengan jenayah komersial seperti data peribadi dalam siasatan polis,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena majlis pelupusan barang kes daun dan cecair ketum di sini hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis memberkas tujuh individu termasuk tiga wanita yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar yang berselindung di sebalik perniagaan syarikat telekomunikasi pada 15 Jun lepas.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memiliki kelengkapan peranti tiada standard.

Sementara itu, mengulas mengenai pelupusan barang kes hari ini, Surina berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis melupuskan 58 tan barangan kes melibatkan daun ketum dianggarkan bernilai RM1.23 juta.

Katanya, kesemua barang kes ini telah selesai perbicaraan di mahkamah dan mendapat perintah untuk dilupuskan.

Beliau berkata setakat 26 Jun lepas, JSJN Perlis berjaya membuat tangkapan seramai 1,149 suspek atas pelbagai kesalahan dadah dan daun ketum, dalam pada masa yang sama telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah sebanyak 369.12 kilogram (kg) dan 35 tan daun ketum.

“Kes dan tangkapan JSJN Perlis pada tahun ini menurun sebanyak 50 peratus dan rampasan pula menurun sebanyak 60 peratus,” katanya.

Beliau berkata penurunun tersebut berlaku akibat penguatkuasaan berterusan oleh pihak polis dan agensi terbabit serta faktor luaran apabila Thailand membenarkan penggunaan daun ketum.

“Selain itu, daripada sumber risikan polis harga pasaran daun ketum telah jatuh daripada RM180 sekilogram kepada RM40 sekilogram,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :