AGENDAJENAYAH

Polis tahan enam individu samun, menyamar pegawai imigresen

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Enam individu tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan menyamar sebagai penjawat awam di sekitar ibu negara, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata kesemua mereka yang ditahan, terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun serta disyaki menyamar sebagai pegawai imigresen.

Beliau berkata penahanan mereka ini dipercayai mempunyai kaitan dengan satu laporan polis mengenai kejadian samun melibatkan mangsa, dua lelaki warga asing yang mengalami kerugian telefon bimbit dan wang tunai anggaran RM300.

“Hasil risikan, sepasukan polis dari Balai Polis Salak Selatan bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, telah membuat tangkapan terhadap satu lelaki warga tempatan pada kira-kira 10 pagi itu.

Hasil daripada tangkapan pertama telah membawa kepada penahanan susulan iaitu tiga lelaki dan dua wanita tempatan serta rampasan terhadap pelbagai alatan dan barang kes yang, dipercayai hasil dari kegiatan samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas adalah lapan telefon bimbit, dua bilah parang panjang anggaran 60 sentimeter, lima komputer riba, dua senjata menyerupai pistol dan lain-lain barangan berharga.

“Turut dirampas adalah ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 32.4 gram dan pil disyaki dadah jenis Erimin 5 anggaran berat 0.7 gram.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta permohonan reman,” katanya.

Muhammad Idzam menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku dan boleh disalurkan melalui Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

-BERNAMA

 


Pengarang :