AGENDAJENAYAH

Polis tahan lelaki mengamuk di Lebuhraya Utara-Selatan

IPOH, 15 JUN: Polis telah menahan lelaki yang dipercayai mengamuk selepas memberhentikan kereta di lorong kanan KM 253 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Kuala Kangsar pada Ahad lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan di kediamannya di Taman Setapak Permai, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 9 malam pada Isnin.

“Suspek dipercayai mengamuk kerana hilang kawalan emosi di bawah pengaruh dadah.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak pada hari ini untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata suspek telah direman pagi semalam dan difahamkan akan dituduh di mahkamah esok.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat dan melakukan galangan di jalan awam serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu galangan disebabkan kenderaan di jalan.

Turut tular gambar lelaki itu berdiri di lorong kanan lebuh raya yang dimuat naik pengguna media sosial yang mendakwa suspek memberhentikan kereta sebelum turun dari kenderaan lalu mengamuk sambil memegang rantai emas dan memanjat kereta berdekatan selain menendang kereta pengguna lebuh raya itu.

– BERNAMA


Pengarang :