Premis mengumpul dan menjual sisa pakaian lusuh yang disita Majlis Perbandaran Hulu Selangor. Foto Facebook MPHS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Premis kendali sisa pakaian lusuh tepi sungai disita

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebuah premis mengumpul dan menjual sisa pakaian lusuh disita kerana beroperasi tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Menurut MPHS tindakan menyita turut diambil kerana kedudukan premis berhampiran anak sungai, yang dikhuatiri boleh mencemarkan sumber bekalan air.

“Pusat pengumpulan dan pelupusan pakaian lusuh ini terletak berhampiran jalan utama serta jaraknya dengan anak sungai lebih kurang 150 meter hingga 200 meter.

“Hasil pemeriksaan di lot 792, Jalan KKB – Rasa (Ladang Ulu Selangor), Mukim Rasa juga mendapati premis berkenaan tidak mempunyai kelulusan atau kebenaran daripada mana-mana agensi termasuk MPHS.

“Pemilik juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kepada pihak MPHS,” kata MPHS dalam kenyataan hari ini.

Turut disita sebuah lori treler dan jengkaut yang digunakan di premis tersebut mengikut UUK3 & 38 (1), Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan & Perindustrian MDHS (2007).

Anak sungai yang terletak berhampiran premis mengumpul sisa pakaian lusuh. Foto Facebook MPHS

Menurut MPHS operasi itu membabitkan 17 pengawai dan kakitangan daripada jabatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, jabatan penguatkuasaan, jabatan perancang bandar, jabatan bangunan, bahagian korporat, selain dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemantauan terhadap aktiviti seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.


Pengarang :