EXCO Pelancongan Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad melepaskan peserta ‘Pusing Selangor Dulu’ Travel Hunt 2022 edisi Hulu Langat di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi pada 25 Jun 2022. Foto Tourism Selangor
AGENSISELANGOR

`Pusing Selangor Dulu’ Travel Hunt promosi produk pelancongan daerah

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor buat julung kali menganjurkan ‘Pusing Selangor Dulu’ Travel Hunt 2022 edisi Hulu Langat pada 25 Jun lalu.

Agensi itu memaklumkan acara yang disertai 280 peserta merangkumi 70 pasukan bermula dari Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi ke lokasi tarikan produk pelancongan menarik di daerah Hulu Langat.

“Acara ini merupakan pertandingan penjelajahan berkereta secara berkumpulan. Peserta perlu mencari lokasi ‘travel hunt’ ditetapkan berpandukan maklumat yang diperoleh untuk menyelesaikan soalan dan tugasan di sepanjang laluan perlumbaan.

“Dengan tema ‘Pusing Selangor Dulu’, acara ini bertujuan menyokong dan menggalakkan penganjuran acara pelancongan negeri ini khususnya di setiap daerah.

“Aktiviti ini mempromosi konsep pelancongan berasaskan pengalaman, iaitu memberi peluang pelancong merasai pengalaman baharu dan menarik selain pelancongan berasaskan komuniti yang terdapat di setiap daerah,” katanya menerusi kenyataan.

Antara tempat pelancongan menarik dikunjungi peserta adalah Agro Goat Farm Sungai Kantan, Pasar Sari Pekan Beranang, Lady Bird Organic Farm Semenyih, Kampung Orang Asli Donglai Baru, Sate Rono dan banyak lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor berkata acara itu meningkatkan reputasi destinasi pelancongan negeri dengan membantu penggiat industri di Hulu Langat mempromosikan produk pelancongan.

“Selangor mempunyai sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan yang mempunyai keunikan pelancongannya tersendiri bagi memberi pengalaman pelancongan.

“Tumpuan diberikan kepada perkhidmatan dan layanan mesra kepada pelancong serta kepelbagaian segmentasi pelancongan. Kita bermula di daerah Hulu Langat dan akan diteruskan ke daerah lain di Selangor,” kata Azrul Shah Mohamad.

Acara ‘Pusing Selangor Dulu’ Travel Hunt 2022 edisi Hulu Langat mendapat kerjasama Hikers Training N Consultant, Kompleks PKNS Bangi, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor sebagai penganjur bersama.

Untuk maklumat lanjut tentang industri pelancongan di Selangor; layari www.selangor.travel, laman web rasmi Tourism Selangor atau ikuti kemas kini Tourism Selangor di Facebook, Instagram, TikTok, Twitter dan YouTube

Sebahagian peserta bergambar selepas menyertai ‘Pusing Selangor Dulu’ Travel Hunt 2022 edisi Hulu Langat di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi pada 25 Jun 2022. Foto Tourism Selangor

Pengarang :