Orang ramai membeli barang keperluan harian pada program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakyat disaran banding harga, guna kuasa beli depani isu keselamatan makanan

SHAH ALAM, 14 JUN: Orang ramai disaran menggunakan kuasa beli dengan membuat perbandingan harga sebelum membeli barangan dalam mendepani isu keselamatan makanan global.

Pensyarah Fakulti Sains Universiti Malaya Prof Madya Dr Che Wan Jasimah Wan Mohamed berkata rakyat perlu bersedia mendepani  krisis itu yang memberi dampak kepada seluruh isu rumah tanpa mengira kelompok pendapatan.

“Isu sekuriti makanan seringkali diperkatakan di media sosial hari ini. Bukan hanya keluarga berpendapatan rendah (B40), tetapi semua peringkat terjejas, maka sebagai pengguna perlu buat tindakan awal dan guna kuasa beli anda.

“Misalnya harga ayam, mereka (kerajaan) menetapkan harga siling RM8.90 sekilogram kemudian dikenakan sedikit cas perkhidmatan yang mana ia berbaloi kerana harga bahan tersebut dikawal,” katanya dalam siaran langsung bersama Astro Awani.

Beliau turut menasihati rakyat supaya mengubah gaya pemakanan tanpa bergantung kepada satu jenis lauk dalam menu harian masakan.

“Berbalik kepada bagaimana kita mengurus dapur di rumah, jadi ibu-ibu yang berada di rumah mahupun bekerja boleh ubah menu makanan setiap hari.

“Jika sebelum ini hari-hari masak ayam, mereka boleh ubah kepada telur, daging dan sayur. Harus diingat masak sendiri lebih sihat serta selamat, tetapi tidak salah sekali sekala makan di luar,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Jasimah mengingatkan pengguna supaya tidak sesekali membuat lambakan stok bahan mentah di rumah bagi mengelak pembaziran kerana sesuatu produk mempunyai tarikh luput.

“Tidak perlu beli bahan mentah dalam kuantiti yang banyak kerana tindakan sedemikian juga akan menyebabkan permintaan tinggi sedangkan stok di pasaran semakin berkurang,” katanya lagi.


Pengarang :