Kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dalam operasi pencegahan denggi pada 3 Jun 2022. Foto Facebook MBPJ
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Rakyat perlu sedar bahaya denggi, bantu hapus tempat pembiakan Aedes

SHAH ALAM, 15 JUN: Rakyat di negeri ini perlu meningkatkan tahap kebersihan di rumah dan sekitarnya bagi membendung penularan wabak denggi.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata kesedaran mengenai bahaya denggi penting supaya pencegahan awal dapat dilaksanakan termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Demam denggi boleh dikawal oleh manusia dengan kesedaran dan perubahan tingkah laku dalam mencegah pembiakan nyamuk serta penularan wabak denggi.

“Selain itu, menggunakan repelan dan amalkan pembuangan sampah di tong sampah,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Denggi Asean 2022 hari ini.

Beliau berkata Selangor merekodkan sebanyak 13,438 kes denggi setakat 11 Jun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, mukim Klang mencatat kes tertinggi iaitu 2,257 diikuti Damansara (2,038), Kajang (1,338), Sungai Buloh (1,324) dan Petaling (1,169).

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM5 juta dalam Belanjawan tahun ini bagi memastikan usaha membendung penularan wabak denggi dapat terus dilaksanakan.


Pengarang :