Dr Mohd Helmi Zakariah bercakap ketika sesi taklimat program Selangor Saring di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 24 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rekod kesihatan menerusi SELangkah, permudah capaian data pesakit

SHAH ALAM, 8 JUN: Maklumat rekod kesihatan kini dihujung jari dan boleh diakses di mana-mana institusi kesihatan menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Pengarah projeknya, Dr Mohd Helmi Zakariah berkata pendaftaran yang dilakukan melalui SELangkah untuk program Selangor Saring itu membantu pengguna menyimpan rekod kesihatan secara digital.

“Rekod perubatan adalah milik kita, namun kebanyakannya disimpan di institusi. Bayangkan simpan di Seremban tiba-tiba berpindah ke Pulau Pinang dan ia memberi kesusahan di mana bukan semua orang mampu ingat bila doktor bertanya.

“Melalui SELangkah kita wujudkan portal untuk klinik dan hospital untuk mereka akses data pesakit yang datang ke tempat mereka.

“Ia penting bagi saya seperti ibu mengandung membawa buku ‘pink’ daftar tempat lain nak bersalin di tempat lain, berpantang tempat lain jadi perlu bawa buku. Kita ibarat digitalkan buku berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bual Bicara: Dua Tahun SELangkah Lebih Maju yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam tadi.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, masalah obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Program bermula pada 22 Mei hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik serta barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :