Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Remaja 17 tahun mengaku rogol pelajar tingkatan satu

SHAH ALAM, 15 JUN: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Parit Buntar semalam atas pertuduhan merogol pelajar perempuan berusia 13 tahun bulan lepas.

Tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja berkenaan di sebuah rumah di Tanjung Piandang sekitar jam 1.10 petang pada 7 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan remaja itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Julai ini bagi sebutan semula kes sementara mendapatkan laporan perubatan.

Remaja lelaki itu ditahan polis Khamis lalu selepas menerima laporan daripada nenek mangsa yang mendakwa cucunya dirogol pada 25 Mei lalu.

Mangsa mendakwa turut diraba bapa suspek berusia 48 tahun yang merupakan jiran baharu di kawasan itu.

Bapa suspek didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping bagi pertuduhan bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Pengarang :