AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Ribut petir, hujan diramal landa tiga daerah di Selangor hingga 3 petang

SHAH ALAM, 11 JUN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 3 petang ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan tersebut diramalkan di negeri ini melibatkan daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat serta seluruh Kuala Lumpur.

Manakala Pahang melibatkan Raub dan Bentong, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Rembau) serta Sarawak (Kuching (Kuching), Serian dan Samarahan).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :