Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penyampaian sumbangan insentif haji di Masjid Al Azim Pandan Indah, Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM2.04 juta disalur untuk baik pulih sekolah di daerah Hulu Langat

AMPANG, 19 JUN: Kerajaan Selangor menyalurkan peruntukan berjumlah RM2.04 juta bagi bantuan baik pulih sekolah sekitar Hulu Langat tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan kepada 77 sekolah di daerah terbabit membuktikan komitmen Kerajaan Negeri membantu memperkasa institusi pendidikan.

“Bantuan kali ini diberikan kepada sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan di daerah ini, manakala sekolah tamil dan cina akan dilaksana pada lain masa.

“Kita memberi perhatian serius terhadap institusi pendidikan kerana percaya nasib generasi masa akan datang ditentukan oleh bidang ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas penyerahan insentif Haji Muassasah kepada 24 bakal jemaah sekitar Hulu Langat dan bantuan persekolahan di Masjid Al-Azim, Pandan Indah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim serta EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Lembah Keramat tidak menyangka bantuan dimohon dua bulan lepas segera diluluskan pejabat Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Zainol Abidin Mohamed, dana tersebut akan digunakan untuk pelaksanaan program yang dijangka memanfaatkan kira-kira 1,400 pelajar di sekolah terbabit.

“Dua tahun sebelum ini ramai pelajar tercicir kerana belajar secara dalam talian akibat Perintah Kawalan Pergerakan, jadi kita mahu buat program seperti ceramah kepada mereka.

“Pelaksanaan program ini sudah tentu memerlukan dana tambahan. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan yang cukup pantas,” katanya.


Pengarang :