EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian (tengah) melakukan gimik pelancaran pertandingan fotografi menggunakan telefon bimbit anjuran Kerajaan Negeri dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) di Wisma Chinese Chamber, Kuala Lumpur pada 16 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RM30,000 menanti sembilan pemenang pertandingan fotografi guna telefon

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Wang tunai bernilai RM30,000 menanti sembilan pemenang pertandingan fotografi menggunakan telefon bimbit anjuran Kerajaan Negeri dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI).

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata pertandingan yang terbuka kepada warganegara itu bermula hari ini sehingga 30 September dengan pemenang akan menerima hadiah wang tunai dan pakej pelancongan.

“Pertandingan ini mudah sahaja hanya perlu ambil gambar lokasi menarik di Selangor kemudian muat naik di Facebook masing-masing dengan tanda pagar #klscciphoto dan pastikan gambar itu dijadikan paparan umum.

“Boleh muat naik sehingga 10 gambar dan juri akan menilai gambar-gambar berkenaan dan mereka yang menang akan dihubungi melalui mesej di Facebook serta dimaklumkan di Facebook KLSCCI,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pertandingan itu di Wisma Chinese Chamber, Jalan Ampang hari ini.

Antara syarat pertandingan, perlu menggunakan telefon pintar dan gambar yang dimuat naik perlu mengekalkan keaslian tanpa sebarang suntingan. Maklumat lanjut boleh diketahui menerusi Facebook KLSCCI.

Loy Sian berkata gambar memainkan peranan penting dalam membantu negeri mempromosikan produk pelancongan dan kerana itu pertandingan berkenaan diadakan.

“KLSCCCI menerima geran RM20,000 melalui Tourism Selangor bagi membuat promosi pelancongan di Selangor dan pertandingan ini salah satu kaedah promosi.

“Melalui gambar yang diambil orang ramai yang dimuat naik di Facebook secara tidak langsung akan menarik minat lebih ramai pelancong untuk melawat lokasi-lokasi menarik di Selangor,” katanya.


Pengarang :