Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin menyempurnakan majlis pecah tanah projek menaik taraf sistem saliran di Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya pada 29 Jun 2022. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

RM6.44 juta naik taraf saliran, atasi banjir di Sungai Kayu Ara

PETALING JAYA, 29 JUN: Sejumlah RM6.44 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi menaik taraf sistem saliran dan kolam takungan di hulu sungai kawasan Sungai Kayu Ara di sini.

Kerja-kerja merangkumi pembinaan kolam takungan seluas satu hektar bertentangan Pangsapuri Lily dan Rose serta pembaikan tebing sepanjang satu kilometer di jajaran Sungai Kayu Ara.

Menurut Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, projek bagi mengatasi banjir kilat itu dimulakan sejak 6 April lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 6 Oktober 2023.

“Naik taraf ini bertujuan menangani banjir kilat dengan kedalaman hampir lima kaki yang kerap berlaku sehingga menjejaskan kawasan sekitar terutama penduduk Kampung Cempaka.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran kerana meluluskan projek untuk menyelesaikan isu yang berpuluh tahun membelenggu penduduk,” katanya.

Ditemui selepas majlis pecah tanah projek berkenaan hari ini, Jamaliah menjangka naik taraf itu dapat mengawal kelajuan aliran air ke hilir sungai dan mengelakkan runtuhan tebing.

“Punca runtuhan disebabkan keadaan hidraulik di lokasi sehingga berlaku hakisan tebing dan mendapan dasar sungai akibat hujan lebat,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kampung Cempaka, Theresa Lim Yin Fah berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan berharap tiada lagi insiden banjir selepas ini.

“Kasihan penduduk di sini anggaran sekitar 8,000 orang yang kebanyakan warga emas. Jika banjir, mereka antara individu yang paling terkesan,” jelasnya.


Pengarang :