Pada harga RM250,000, rakyat Selangor yang layak berpeluang memiliki kediaman selesa dilengkapi pelbagai kemudahan seperti penyaman udara, pemanas air, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Rumah Idaman banyak kemudahan, penuhi impian miliki kediaman sendiri

Rumah Idaman antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu keluarga berpendapatan rendah (B40) menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Pada harga RM250,000, rakyat Selangor yang layak berpeluang memiliki kediaman selesa berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi di lokasi strategik lengkap pelbagai kemudahan seperti sekolah, hospital serta akses jalan.

Setiap unit mempunyai dua parkir, penyaman udara di tiga bilik tidur, pemanas air di dua bilik air, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian. Ada juga pemaju menyediakan kemudahan tambahan lain.

Wartawan Amin Ridzuan Ishak dan jurugambar Remy Arifin meninjau pelaksanaan projek itu serta menemu bual bakal pembeli dan wakil agensi pelaksana projek, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pada 31 Mei.

======================================================================================

SHAH ALAM, 14 JUN: Sejak mendirikan rumah tangga enam tahun lalu, Wan Mohd Harith Wan Abd Manan dan isteri, Maisarah Ramly tiga kali menyewa rumah di sekitar Shah Alam. Dikurniakan sepasang cahaya mata yang kini berusia empat dan lima tahun, keperluan untuk memiliki kediaman sendiri penting bagi mereka.

Lantas Wan Mohd Harith, 36, yang bekerja sebagai perunding pelaburan memulakan pencarian. Bagaimanapun, usahanya gagal kerana kebanyakan rumah di sekitar Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam di luar kemampuannya. Seboleh-bolehnya mahu tinggal di kawasan itu untuk memudahkan beliau dan isteri ke tempat kerja.

Akibatnya impian anak kelahiran Terengganu yang menetap di Selangor sejak tamat pengajian untuk memiliki rumah sendiri terpendam. Mereka terus menyewa pangsapuri di Bukit Jelutong.

Wan Mohd Harith

Januari lalu ketika melalui tapak pembinaan berhampiran rumahnya, Wan Mohd Harith terpandang iklan jualan projek Rumah Idaman Bukit Jelutong yang baharu dipasang. Sebaik sahaja melihat harga RM250,000, beliau terus mengisi borang pendaftaran bawah sistem Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Mana hendak cari harga seperti itu di Bukit Jelutong. Dekat dengan bandar Shah Alam dan ada macam-macam kemudahan. Anak saya nanti boleh berjalan kaki ke sekolah menengah yang terletak di seberang jalan sahaja.

“Kalau saya hendak pergi kerja pun mudah kerana stesen LRT (Transit Aliran Ringan) Glenmarie hanya 10 minit perjalanan sahaja. Dalam rumah pun disediakan televisyen, penyaman udara, pemanas air dan kabinet dapur,” katanya yang menerima surat tawaran membeli rumah daripada LPHS.

Wan Mohd Harith gembira kerana proses pembeliannya mudah. Beliau kini hanya menunggu kelulusan pinjaman bank. Sekiranya tiada aral melintang keluarganya mungkin boleh mendiami rumah sendiri dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Projek Rumah Idaman dilancar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 2019 bagi membantu rakyat Selangor memiliki kediaman pertama beserta kemudahan pada harga berpatutan.

Cabaran melaksanakannya cukup besar terutama dalam mencari lokasi strategik di bandar kerana ruang tanah yang semakin terhad. Bagaimanapun, komitmen tinggi Kerajaan Negeri menerusi MBI sebagai pelaksana projek berkenaan berjaya merealisasikannya.

“Rumah Idaman adalah aspirasi Kerajaan Negeri untuk membantu B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri, syaratnya harus dibina di zon satu berdasarkan panduan LPHS iaitu meliputi kawasan bandar serta dekat dengan pelbagai kemudahan.

“Dato’ Menteri Besar beritahu kami projek ini tidak harus mengasingkan B40 dan M40 daripada bandar yang menjadi pusat pertumbuhan ekonomi,” kata Pengurus Perancangan & Pembangunan Hartanah MBI Mohd Izaidi Mohd Bakir.

Harga patut

Dengan harga berpatutan dan kemudahan bertaraf lima bintang, Rumah Idaman menjadi pilihan pembeli. Misalnya Rumah Idaman Abadi di Kajang, Hulu Langat, habis dijual dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

Selangorkini berpeluang meninjau ke fasa satu projek itu pada 4 Jun mendapati kerja pembinaan selesai dan pemaju, Trans Loyal Development Sdn Bhd sedang melakukan kerja akhir seperti pembersihan sebelum kunci diserahkan kepada pembeli.

Kemudahan disediakan kepada pembeli seperti bangunan parkir bertingkat, kolam renang, dewan serba guna, kedai, tadika, surau, bilik pengurusan jenazah umat Islam dan taman permainan.
Selain itu, ada 10 unit khas untuk orang kelainan upaya (OKU) yang menampilkan ciri khas seperti bilik air lebih besar dan terletak di tingkat bawah.

Rumah Idaman yang ditawarkan pada harga RM250,000 turut dilengkapi peti ais dan kabinet dapur. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kunci rumah projek yang mula dibina pada 2019 dijangka diserah kepada pembeli dalam masa terdekat selepas pihak berkuasa memberi kelulusan menduduki.

Permintaan tinggi juga diperoleh bagi Rumah Idaman di Bukit Jelutong. Sehingga kini, lebih 4,000 permohonan diterima sedangkan unit ditawarkan hanya 1,260 unit. Projek yang bermula tahun ini dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Projek dilaksana Nadi Emery Sdn Bhd, anak syarikat Gagasan Nadi Cergas Berhad, turut meliputi penyediaan kolam renang, gimnasium, dewan, gelanggang badminton, taman permainan, kebun komuniti, taman di bumbung dan kawasan yoga.

Kedudukannya yang strategik berhampiran pelbagai kemudahan seperti sekolah, balai bomba dan laluan seperti Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menarik minat ramai.

Menurut Mohd Izaidi, sambutan menggalakkan membuktikan kesungguhan masyarakat untuk memiliki kediaman sendiri sebagai persediaan masa depan. Menyedari keadaan itu, MBI menyediakan lebih banyak projek di lokasi strategik.

“Projek ini bukan semata-mata menyediakan rumah tetapi membantu penduduk membina kehidupan dengan menyediakan pelbagai kemudahan,” kata Mohd Izaidi lagi.

Bina 50,000 rumah

Ketua Unit Subsidiari PNSB Construction Sdn Bhd Wan Afnizam Wan Moran (gambar kanan) pula menjelaskan Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan 50,675 unit Rumah Idaman di lapan daerah. Bilangannya mungkin bertambah bergantung kepada permintaan pada masa depan.

Daripada jumlah itu, 2,059 unit disiapkan di Rumah Idaman Abadi manakala 5,000 rumah bakal dibina pada tahun ini iaitu Rumah Idaman Bukit Jelutong, Rumah Idaman Bandar Saujana Putra dan Rumah Idaman Cybersouth.

Jelas Wan Afnizam, kesemua rumah itu mampu disiapkan dalam dua hingga tiga tahun sekali gus menambah jumlah rumah mampu milik kepada rakyat yang layak.

Rumah Idaman menerusi ISP membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri membela rakyat. Manfaatnya dapat dinikmati keluarga Wan Mohd Harith yang kini hanya selangkah untuk mencapai impian memiliki kediaman sendiri.

Antara program lain dalam ISP ialah Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas). Skim menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) itu membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini yang menerima RM300 sebulan.

Program pemeriksaan kesihatan Selangor Saring di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) turut diperkenal. Ia menyediakan pemeriksaan fizikal, darah dan air kencing, mata, pangkal rahim, barah payudara, darah najis okulta atau barah usus dan prostat secara percuma.

Karnival Jelajah ISP bagi mempromosi inisiatif kebajikan untuk rakyat dijadual bermula di Hulu Langat pada 19 Jun. Jelajah itu turut dirancang diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.


Pengarang :