Peserta membuat pemeriksaan mata ketika program Selangor Saring dalam Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Saringan kesihatan percuma di dua daerah hujung minggu ini

SHAH ALAM, 22 JUN: Saringan kesihatan percuma yang dilaksanakan di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun.

Pemeriksaan menerusi program Selangor Saring kemudian diteruskan di Dewan Komuniti Kampung Batu 9, Cheras dan Dewan Komuniti Taman Pelangi, Semenyih pada 26 Jun.

Inisiatif yang berlangsung sejak bulan lalu menyasarkan 500 hingga 1,000 penduduk setiap DUN untuk menyertai saringan dengan mendaftar dalam Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Sebanyak 115,928 kuota disediakan iaitu 31,000 untuk ujian fizikal, darah dan air kencing, mata (12,400), pangkal rahim dan barah payudara (1,680), ujian darah najis okulta atau barah usus (5,936) manakala prostat (1,232).

“Selangor Saring bertujuan melakukan pengesanan awal penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, kanser payudara dan banyak lagi,” kata EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook.

Menerusi peruntukan RM3.4 juta, seramai 39,000 penduduk terutama individu yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamal gaya hidup tidak sihat bakal memperoleh manfaat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui drsitimariah.com/talian-suka/


Pengarang :