EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman (dua,kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek (tengah) melawat tapak rerurai sempena Selangor Mega Job Fair di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bakal anjur karnival kerjaya khas sektor pelancongan, perhotelan

SHAH ALAM, 11 JUN: Karnival kerjaya khusus untuk sektor pelancongan dan perhotelan bakal diadakan pada suku ketiga tahun ini bagi menampung kira-kira 6,000 kekosongan sumber tenaga.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya mendapat permintaan daripada pemain industri termasuk hotel bajet yang kekurangan tenaga kerja ketika ini.

“Permintaan ini dari pemilik seluruh hotel di Selangor. Mereka kekurangan pekerja selepas sektor terhenti akibat pandemik Covid-19.

“Kita sudah minta pegawai teliti program ini selain akan jalin kerjasama dengan EXCO pelancongan bagi menaikkan semula industri ini,” katanya selepas meninjau Karnival Kerjaya Mega 2022 hari ini.

Program dua hari sehingga esok yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini menawarkan lebih 20,000 peluang kerja.

Lebih 100 syarikat mengambil bahagian antaranya Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Tidak ketinggalan Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.


Pengarang :