Pemain Skuad badminton Bawah 16 tahun (B-16) Selangor ketika beraksi pada suku akhir Kejohanan Badminton Jelajah Remaja Elit (JET) 2022 Pusingan Kedua bermula pada 9 Jun 2022. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Selangor dominasi cabaran perseorangan Badminton Jelajah Remaja Elit

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Skuad badminton Bawah 16 tahun (B-16) Selangor bermula cemerlang dengan tujuh pemain perseorangannya mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Jelajah Remaja Elit (JET) 2022 Pusingan Kedua bermula hari ini.

Selangor yang berada di dalam Kumpulan A terdahulu mengesahkan slot dengan tiga wakil kategori perseorangan lelaki B-16 mara ke suku akhir iaitu Au Wei Shan yang menundukkan wakil Perak, Diong Xhe Ming dengan keputusan straight set 21-18, 21-12.

Dua lagi pemain yang menempah slot sama ialah Razeeq Danial Roslie yang menundukkan Wan Abdul Latif Hakimi Wan Abdul Khalid (Kelantan) 23-21, 21-11 dan Shawn Hiu menewaskan Fan Jing Xuan (Perak) 21-11, 21-9.

Dalam pada itu, aksi perseorangan perempuan B-16 menyaksikan empat wakil Selangor turut mengesahkan slot ke suku akhir, menurut kenyataan daripada penganjur kejohanan itu.

Eng Ler Qi mengetuai cabaran selepas menundukkan Ngui Jun Yi (Kuala Lumpur) 21-8, 21-6 diikuti Shanraya Kabilan menewaskan Ling An Siow (Kuala Lumpur) 21-13, 21-5.

Shan Lee Yu selaku wakil ketiga turut mara apabila menang ke atas Leong Jin Ee (Perak) 21-8, 22-20 diikuti Chong Ker Yie wakil keempat yang mengalahkan Jane Mah Chun En (Perak) 21-5, 21-6.

-BERNAMA


Pengarang :