Laman sesawang Selangor Kerjaya menawarkan pelbagai maklumat untuk pencari kerja serta majikan mendapat tenaga kerja menepati kekosongan jawatan.
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor Kerjaya anjuran MBI tarik minat 22,000 individu sejak dilancarkan 

SHAH ALAM, 11 JUN: Seramai 22,000 individu mendaftar program Selangor Kerjaya anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sejak dilancarkan Januari tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Norita Mohd Sidek berkata setakat ini, program bertujuan memacu ekonomi rakyat selepas penularan wabak Covid-19 itu berjaya membantu 1,400 individu mendapat kerja.

“Inisiatif ini menjadi platform padanan kerjaya antara pencari kerja dengan pihak majikan secara berkesan. Mereka yang berminat hanya perlu mendaftar di laman sesawang MBI.

“Seramai 200 majikan pelbagai industri terlibat dalam program ini dengan kebanyakannya dari sektor pembuatan dan runcit,” katanya ditemui di Karnival Kerjaya Selangor 2022 di sini hari ini.

Norita berkata sempena karnival berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pihaknya turut mengambil bahagian bagi memudahkan individu membuat pendaftaran.

“Mereka juga boleh mengetahui lebih lanjut berkenaan insentif ini selain terus mendaftar di kaunter MBI,” katanya.

Selangor Kerjaya dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Januari 2021 merupakan program pengurusan bakat dan tenaga kerja.

Bagi tempoh jangka pendek, Selangor Kerjaya akan dilaksana hingga Disember 2023 dan bakal menempatkan 10,000 tenaga kerja menerusi pelaksanaan sistem profil, padanan kerja sesuai (job matching) dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling).

Untuk jangka panjang pula, MBI mahu membina pangkalan data bagi pembangunan insan negeri, memenuhi permintaan kemahiran dan laluan kerjaya bagi peluang pekerjaan abad ke-21 melalui peningkatan kemahiran serta latihan semula (reskilling).


Pengarang :