Antara penduduk yang hadir ke program Selangor Saring di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Tiram Jaya. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor Saring kesan ramai golongan muda alami kolesterol tinggi

KUALA SELANGOR, 12 JUN: Kebanyakan peserta program kesihatan Selangor Saring berusia 25 hingga 40 tahun dikesan mengalami kadar kolestrol tinggi.

Ahli Penasihat Kesihatan Awam Selangor Dr Mohammad Farhan Rusli berkata perkara itu membimbangkan meskipun Indeks Jisim Badan (BMI) kumpulan usia terbabit normal serta keadaan fizikal yang sihat.

“Ini berdasarkan keputusan ujian saringan di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN). Golongan orang muda yang aktif dan sihat dikesan mempunyai kolesterol tinggi.

“Dari sini (keputusan), kita boleh lihat betapa pentingnya pemeriksaan kesihatan. Lepas periksa darah, buat saringan menyeluruh baharu kita nampak penyakit yang ada,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Tiram Jaya, di sini sempena program kesihatan percuma DUN Permatang dan Sungai Burong.

Justeru Dr Mohammad Farhan menyeru orang ramai tanpa mengira usia supaya mengambil peluang memeriksa tahap kesihatan diri menerusi inisiatif Kerajaan Negeri.

“Mereka yang nampak sihat disaran untuk sertai. Jika dikesan menghidap penyakit, kita mahu mereka dirawat segera dan elak perkara lebih buruk,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :