Keadaan bas persiaran selepas terbabit kemalangan di kilometer 425.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan berhampiran Bukit Beruntung. Foto Facebook Balai Bomba Dan Penyelamat Bukit Sentosa
AGENDANASIONAL

Seorang penumpang wanita maut, 39 cedera dalam kemalangan bas

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Seorang penumpang wanita maut manakala 39 lagi cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dengan treler di kilometer 425.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan berhampiran Bukit Beruntung, Selangor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.32 pagi tadi, sebelum anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa tiba di lokasi pada 4.54 pagi.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi tadi, bas tersebut merempuh bahagian belakang treler 20 tan yang bergerak dari arah sama.

“Mangsa yang duduk di kerusi hadapan sekali tersepit di bahagian yang remuk. Mangsa berjaya dikeluarkan pada 5.13 pagi dan telah disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa Hamaizah Fadzilah, 54, berada dalam bas berkenaan bersama 39 penumpang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata kemalangan itu berlaku sewaktu bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Kedah menuju ke Kuala Lumpur.

“Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arsad berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan berkenaan diminta menyalurkannya kepada polis bagi siasatan di bawah kaedah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA


Pengarang :