Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif ketika sidang media selepas majlis pecah tanah Pusat Pengalaman Memandu (DEC) di SIC pada 14 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

SIC bakal buka pusat pengalaman memandu pertama di Asia Tenggara

SEPANG, 14 JUN: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terus mengorak langkah dalam industri automotif dengan memperkenalkan Pusat Pengalaman Memandu (DEC) yang pertama di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata fasiliti DEC itu selaku hab pendidikan permotoran, akan mula dibina di kawasan SIC pada bulan ini dan dijangka siap tahun hadapan.

“Projek ini sebahagian daripada pelan SIC yang kita bangunkan suatu ketika dahulu dan ia akan menjadi satu lagi produk dari kami kerana di litar utama kita lebih fokuskan kepada perlumbaan, sementara DEC kita lebih tertumpu kepada sudut kemahiran dan keselamatan pemanduan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pecah tanah DEC di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang di sini hari ini.

Shafriman berkata fasiliti tersebut dibangunkan atas tanah berkeluasan 28 hektar yang seterusnya akan memperkenalkan konsep pembelajaran kepada pemandu di Malaysia, agar lebih mahir mengendalikan kenderaan dengan penyediaan fasiliti dan rintangan.

“Ia termasuk sirkit pengendalian sejauh 1.5 kilometer, bulatan gelinciran, plat gelinciran hidraulik dan kawasan pelantardDinamik, yang pastinya dapat menguji kecekapan pemandu dan kebolehan kenderaan mereka,” katanya.

Beliau berkata antara perkhidmatan ditawarkan selepas fasiliti itu siap dibina nanti melibatkan prestasi pengalaman pemanduan, kursus pemanduan keselamatan dan penyewaan fasiliti.

Projek DEC merupakan salah satu komponen kepada Pelan Strategik Perniagaan unjuran lima tahun SIC, yang diluluskan Lembaga Pengarah SIC pada 2014.

Geran projek DEC itu diperuntukkan kerajaan melalui bajet Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Turut hadir pada majlis pecah tanah tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalannya Datuk Seri Ti Lian Ker.

– BERNAMA


Pengarang :