Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) pada majlis pelancaran Sistem Wasiat dan Hibah (Siswa) di Hotel Concorde, Shah Alam pada 1 Jun 2022. Foto MAIS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sikap sambil lewa, kurang maklumat punca urusan harta pusaka tertunggak

SHAH ALAM, 2 JUN: Waris yang bersikap sambil lewa dalam tuntutan harta pusaka antara faktor pengagihannya masih tertunggak, kata pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ketika ini sejumlah RM12.6 bilion harta pusaka di negara ini masih berdaftar atas nama pemilik yang sudah meninggal dunia dan Selangor adalah negeri kedua tertinggi.

“Selain itu perbalahan dalam kalangan ahli keluarga dan jumlah pewaris terlalu ramai turut menjadi punca sehingga menyukarkan proses tuntutan selain ketidakfahaman masyarakat mengenai kaedah serta prosedur pengurusan harta pusaka.

“Oleh itu, perkhidmatan pengurusan harta seperti sistem baharu ini mampu mengelak perkara -perkara ini sekaligus mengharmonikan institusi keluarga,” katanya selepas melancarkan Sistem Wasiat dan Hibah (Siswa) di Hotel Concorde semalam.

Sementara itu, beliau berkata setakat Mei lalu pihaknya sudah menerima 3,196 permohonan wasiat dan hibah.

“Daripada jumlah itu, hampir 10 peratus permohonan wasiat dan hibah berjaya diselesaikan.

“Pada tahun ini, kita sasar 6,000 permohonan wasiat dan hibah daripada masyarakat Islam di negeri ini bagi membantu mereka menguruskan harta pusaka,” katanya.


Pengarang :