Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin ketika sidang media Sidec untuk Pengumuman Top ECM Awards dan Selangor Fashion Accelerator 2022 di Hotel The Majestic, Kuala Lumpur pada 20 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Siti Nurhaliza mahu pamer produk baharu di sidang bandar pintar Oktober ini

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Penyanyi nombor satu negara berharap syarikatnya berpeluang mempamerkan produk terbaharu pada Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) Oktober ini.

Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berkata penyertaan pertama kali CTDK Holdings tahun lalu menjadi pengalaman berharga dan platform itu sesuai untuk membawa produknya menembusi pasaran antarabangsa.

“Harap tahun ini dapat terus pamerkan produk terbaharu serta terlaris keluaran CTDK Holdings di SDEC,” katanya pada sidang media pengumuman Selangor Fashion Accelerator semalam.

Beliau antara juri pada program berkenaan yang berlangsung kira-kira dua bulan bermula 1 Ogos hingga 23 September.

SDEC diadakan pada 6 hingga 9 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022.

Pada penganjuran tahun lalu, Siti Nurhaliza yang diiktiraf kedudukan ke-27 dalam kelompok 100 artis utama paling banyak memenangi anugerah sepanjang zaman antara 28 pempamer yang mengambil bahagian.

Antara produk dipamerkan ialah kosmetik dan produk penjagaan kulit selain pewangi, cecair pembasmi kuman dan tudung Afiya.


Pengarang :