Presiden CTDK Holdings Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin (tiga, kanan) bercakap ketika sidang media Sidec untuk Pengumuman Top ECM Awards dan Program Pemecut Selangor 2022 di Hotel The Majestic, Kuala Lumpur pada 20 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Siti Nurhaliza sasar program fesyen negeri cungkil banyak bakat baharu

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Datuk Seri Siti Nurhaliza menjangka penganjuran program Pemecut Fesyen Selangor Ogos ini bakal melahirkan lebih ramai pereka fesyen berbakat.

Penyanyi nombor satu negara yang juga salah seorang juri bagi acara berkenaan turut berharap rekaan pakaian sopan yang lebih segar dan berlainan dapat dihasilkan.

“Program ini dapat mencungkil bakat pendatang baharu. Setiap kali melayari media sosial, saya kagum bila lihat ramai pereka muda yang bagus.

“Kali ini kita ketengahkan fesyen sopan dan sedia dipakai. Hendak jadi ikutan dan ramai yang beli,” katanya pada sidang media pelancaran program semalam.

Selain Siti Nurhaliza, beberapa pereka terkenal tanah air turut terpilih sebagai juri antaranya Melinda Looi  bagi menilai 16 peserta.

Juri lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan Pengarah Urusan The Hive Southeast Asia Dato’ Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail.

Menerusi program berkenaan, peserta akan dilatih dan dibimbing oleh pemain industri profesional kira-kira dua bulan sebelum enam yang terbaik akan membentangkan idea pada Hari Demo, 8 Oktober.

Pemohonan dibuka sehingga 15 Julai dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.sidec.com.my.

 


Pengarang :