Selangorkini
AGENDA NASIONAL

SKMM: Gagal beri perkhidmatan bermutu, pembekal internet berdepan tindakan

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan mengenakan tindakan kawal selia terhadap pembekal yang didapati gagal menyediakan perkhidmatan Internet berkualiti.

Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata ini adalah pendekatan agresif terhadap pembekal agar dapat memberi perkhidmatan yang bermutu kepada pengguna.

“Pada masa sama, pengguna dapat merasai pengalaman berkualiti yang benar-benar memenuhi apa yang dijanjikan oleh perkhidmatan 4G ini,” katanya dalam program Buletin Bernama terbitan Bernama TV.

Beliau berkata pembekal yang gagal memenuhi janji itu berdepan hukuman mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Zulkarnain berkata pihaknya menerima arahan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) untuk melaksanakan audit perkhidmatan jaringan sistem Internet di semua kawasan di setiap negeri.

“Setakat ini, kita telah jalankan audit atau pemeriksaan dengan melihat dari segi liputan dan kelajuan. Pada masa sama, kita telah mengeluarkan arahan untuk mereka (pembekal) mengambil tindakan untuk membaiki perkhidmatan,” katanya.

Sebelum ini, K-KOMM mengarahkan SKMM untuk melaksanakan pemetaan di seluruh negara bagi mengukur tahap sebenar kelajuan Internet dan membandingkannya dengan laporan oleh syarikat telekomunikasi.

– BERNAMA


Pengarang :