Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kanan) dan Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan (tiga, kanan) menyerahkan sumbangan komputer riba kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Height, Selayang pada 21 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

SMK Ideal Height terima lima unit komputer sumbangan MBI

SELAYANG, 21 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang lima unit komputer riba untuk kegunaan pusat akses Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Height, di sini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata serahan peranti model HP bernilai RM6,000 itu bagi memudahkan proses pembelajaran pelajar terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kita memahami keperluan sekolah untuk mendapatkan kemudahan seperti ini dan segera  mempercepat agihan sebaik menerima permohonan.

“Diharap bantuan ini dimanfaatkan sebaiknya khususnya pelajar tanpa perlu ke pusat siber untuk menyiapkan tugasan sekolah atau kerja kursus,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemui hari ini.

Perkakas berkenaan disampaikan kepada Pengetua Cemerlang Zarina Mahmood sambil disaksikan Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan.

Sementara itu, Mohd Sany berkata pusat akses sekolah terbabit memerlukan kemudahan baharu berikutan prestasi komputer sedia ada perlahan sehingga menyukarkan pelajar.

“Syabas kepada pihak sekolah kerana berjaya buat permohonan untuk mendapatkan komputer baru. Saya berterima kasih kepada MBI yang banyak membantu warga Taman Templer.

“Insya-Allah kita akan melihat keperluan lain dari semasa ke semasa terhadap sekolah ini. Diharap menyuntik semangat kepada pihak sekolah untuk mencipta kecemerlangan pelajar,” katanya.

 


Pengarang :