Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan surat tawaran Rumah SelangorKu sempena Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Suami isteri syukur, tamat penantian lima tahun miliki rumah sendiri

HULU LANGAT, 19 JUN: Penantian lima tahun sepasang suami isteri untuk memiliki rumah tercapai selepas menerima tawaran Rumah Selangorku di program Jelajah Selangor Penyayang, hari ini.

Syed Hamid Syed Mohamad, 37, berkata selepas mendirikan rumah tangga, beliau berusaha membeli kediaman sendiri untuk keselesaan keluarga namun gagal dan terpaksa menyewa sehingga kini.

Syed Hamid Syed Mohamad. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, saya nampak tawaran iklan Pangsapuri SelangorKu Kayangan dan terus mohon. Tahun lepas saya dimaklumkan permohonan berjaya, saya bersyukur.

“Rumah SelangorKu dijual RM100,000, jadi bayaran bulanan tidak membebankan.  Saya perlu menyara empat anak di samping isteri juga tidak berkerja,” katanya.

Terdahulu beliau bersama enam pembeli lain menerima surat tawaran pembelian rumah jenis B yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang.

Sementara itu, pegawai bank Mohd Alif Ikhmal Mohd Azmi, 29, tidak menyangka dapat memiliki rumah tiga bilik yang dilengkapi pelbagai kemudahan pada harga rendah dari pasaran.

Mohd Alif Ikhmal Mohd Azmi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Masa mohon tak tahu harga rumah hanya RM100,000. Agak terkejut sebab murah memandangkan rumah lengkap tiga bilik selain ada beberapa kemudahan lain.

“Diharap rumah ini dapat dijual lebih banyak lagi kerana harganya tidak tinggi sekali gus membolehkan lebih ramai individu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Rumah SelangorKu Kayangan dibina di  Setia Ecohill Semenyih, Kajang, yang menawarkan 600 unit kediaman berkeluasan 750 kaki persegi, tiga bilik tidur serta dua ruang letak kereta.

Dibangunkan pemaju Segaman Sdn Bhd, kediaman dijangka siap 2023 turut dilengkapi dewan serbaguna, taman permainan, gimnasium, surau, taska serta kawalan keselamatan 24 jam.

Sejak 2018 hingga November tahun lalu, sebanyak 24,428 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan dan ditawar kepada penduduk.

Rumah jenis C paling banyak siap iaitu 9,294 unit diikuti jenis D (7,822 unit), jenis B (4,122 unit) manakala jenis A (2,019) dan jenis E (1,171).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Mohamad meninjau model Rumah Idaman sempena Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :