Nurul Amira Suhaimi, 27, mendapatkan bekalan minyak masak di sebuah pasar raya di Seksyen 9, Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Subsidi minyak masak paket 1kg kekal, berbotol mansuh 1 Julai

SHAH ALAM, 22 JUN: Hanya subsidi minyak masak paket sekilogram masih dikekalkan seperti sebelum ini dengan nilai tanggungan RM4 bilion melibatkan 60,000 tan metrik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah yang meningkat saban tahun itu melebihi keperluan sebenar pengguna iaitu 55,000 tan metrik sebulan.

“Subsidi yang ditanggung kerajaan ini untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi satu kilogram sahaja berbanding harga pasaran sebenar RM9.

“Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata program subsidi sementara minyak masak berbotol antara satu hingga lima kilogram tidak lagi diteruskan bermula 1 Julai.

Beliau menjelaskan keputusan itu berikutan bekalan tersebut banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial selain terlibat aktiviti penyeludupan.

“Sehubungan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai untuk tidak lagi menyambung subsidi minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini bagi membantu golongan terkesan pandemik,” katanya.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan subsidi minyak masak tulen berbotol serta harga siling telur dan ayam dihapuskan mulai 1 Julai ini.


Pengarang :