Kontinjen Malaysia pada majlis pembukaan rasmi Sukan SEA di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 12 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA 2027: Lokasi ditentukan selepas berbincang dengan kerajaan

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Tumpuan penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027 di ibu negara atau turut melibatkan negeri lain akan diputuskan dalam masa terdekat, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berkata perincian mengenai perancangan berkenaan hanya dapat diputuskan selepas perjumpaan bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata ia termasuk kemungkinan temasya dwitahunan itu hanya diadakan di sekitar ibu negara seperti sebelum ini atau peluang turut akan diberikan kepada negeri lain untuk menjadi penganjur bersama.

“Negara mempunyai kemudahan lengkap untuk menganjurkan Sukan SEA tetapi sama ada mahu sebahagian daripada temasya dwitahunan itu diadakan di luar Kuala Lumpur dan membantu negeri-negeri lain membangunkan infrastruktur….ia memerlukan keputusan bersama kerajaan pusat dan negeri.

“Sesetengah negeri mungkin berkata mereka juga mempunyai kemudahan sedia ada yang boleh diubah suai bagi menghoskan acara sukan peringkat Sukan SEA,” katanya selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata pihaknya juga perlu membincangkan dengan teliti mengenai persediaan kontinjen negara yang dapat memberikan keputusan yang baik buat negara pada temasya berkenaan.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA, yang sebelum ini dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP), sebanyak enam kali – 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017 – dengan kesemua edisi itu dianjurkan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata setakat ini tiada kes doping membabitkan atlet Malaysia di Sukan SEA Vietnam yang berlangsung dari 12 hingga 23 Mei lepas.

Beliau berkata senarai sukan bagi edisi seterusnya di Kemboja yang bermula 5 hingga16 Mei depan, akan diputuskan ketika mesyuarat Persekutuan Sukan SEA bermula 2 hingga 3 Julai ini di Phnom Penh.

“Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Nur Azmi Ahmad akan mengadakan mesyuarat post-mortem bersama semua pengurus pasukan untuk menyiapkan laporan CDM dalam tempoh terdekat. Penyenaraian jumlah acara sukan pada Sukan SEA 2027 nanti adalah juga berdasarkan maklum balas persatuan sukan kebangsaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :