Persiaran Institut di Seksyen 1, Shah Alam kini dikenali sebagai Persiaran Tun Arshad Ayub. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDASELANGOR

Sultan berkenan penukaran nama Persiaran Tun Arshad Ayub, hargai jasa pengarah pertama UiTM

SHAH ALAM, 23 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan supaya nama Tun Arshad Ayub diabadikan di salah sebuah jalan di Seksyen 1 di sini, bagi menghargai jasa Allahyarham.

Menerusi Facebook, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Persiaran Institut di Seksyen 1, di sini ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub.

“Titah DYMM Tuanku ini telah diluluskan dan akan dikuatkuasakan serta-merta oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Pertukaran nama persiaran ini merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 iaitu di hadapan pintu masuk utama UiTM hingga ke persimpangan lampu isyarat berhampiran Universiti Selangor di Seksyen 7, Shah Alam,” menurut kenyataan Selangor Royal Office.

Allahyarham Tun Arshad adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara, yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut kenyataan itu lagi, ia bagi mengenang jasa Tun Arshad seorang tokoh pendidikan yang dihormati dan disegani serta banyak berjasa dalam memperkasa sistem pengajian tinggi di negara ini khususnya UiTM.

Tun Arshad, 93, meninggal dunia di sebuah hospital di ibu negara pada 14 Jun lalu selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat masalah kesihatan.

Allahyarham yang dilahirkan di Muar, Johor pernah bertugas sebagai ketua setiausaha kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam serta badan berkanun.


Pengarang :