Foto kenangan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bersama Tokoh Pendidikan Negara Tun Dr Arshad Ayub (dua, kanan) dalam sebuah majlis. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan zahir takziah, kagumi usaha Tun Arshad majukan pendidikan

SHAH ALAM, 15 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan takziah atas pemergian tokoh pendidikan negara Tun Dr Arshad Ayub semalam.

Menerusi Facebook, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin mengagumi usaha Allahyarham yang mempunyai visi dan berpandangan jauh dalam merancang sesuatu perkara.

Menyifatkan negara kehilangan tokoh pelopor inovasi pendidikan dan pentadbiran yang sukar dicari ganti, Baginda turut memuji pendirian Allahyarham dalam mencapai kejayaan melalui komitmen berterusan.

“Penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diasaskan Allahyarham bertujuan memberi peluang kepada pelajar kurang bernasib baik terutama luar bandar melalui program yang diadakan.

“Visi dan perancangan Allahyarham ini telah menghasilkan ramai profesional dan ilmuan yang diiktiraf antarabangsa,” menurut kenyataan Selangor Royal Office.

Sebagai menghargai usaha Allahyarham dalam membangunkan UiTM, Baginda turut mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama, Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

“Baginda berdua berharap balu Allahyarham Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan keluarga tabah menerima ketentuan Allah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” kata kenyataan itu lagi.

Tun Arshad, 93, dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di ibu negara jam 2.06 pagi semalam, selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi sejak minggu lalu akibat masalah kesihatan.

Allahyarham adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) antara 1967 sehingga 1975, yang juga pencetus idea kepada perkembangan pendidikan yang kini dikenali sebagai UiTM.

Allahyarham yang dilahirkan di Muar, Johor pernah bertugas sebagai ketua setiausaha kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam serta badan berkanun.

 


Pengarang :